Tumpuan :
Nasional

Asean perlu terus bersikap berkecuali, tarik pelaburan Eropah, China

Anwar ketika menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan WEF di Davos. FOTO: Reuters

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal dengan pendirian Malaysia dan negara Asean seharusnya bersikap berkecuali dan tidak masuk campur dalam masalah membabitkan negara lain.

Perdana Menteri berkata, Asean hari ini perlu berusaha untuk terus menarik pelaburan bukan sahaja daripada Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, malah dengan jiran terdekat seperti China, India, dan Australia.

“Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan, dan begitu juga rantau Asean, perlu terbabit secara lebih agresif dengan pelaburan daripada AS dan Eropah. China menjadi jiran yang penting, malah kita harus terus berbuat demikian bersama Australia, India, dan negara-negara lain.

“Disebabkan ini, saya merasakan Asean adalah sebuah wilayah berpusat yang mampu terbabit secara dekat mana-mana negara, dan masalah yang bukan masalah kita tidak sepatutnya menekan kita atau berpihak kepada sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama pada Sesi Awam Peringkat Tinggi: Pleno Asean bersempena Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, tadi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Asean hari ini mengamalkan polisi yang memberi kebaikan kepada semua negara anggota dalam usaha memastikan keamanan berlanjutan.

“Kita bukan sebuah wilayah yang bersaing sesama sendiri, tetapi mengutamakan perkara yang inklusif dan mampan yang memberi manfaat antara satu sama lain,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini