Oleh: Halim Mohamed
TOKYO: Malaysia terus menyuarakan isu kemanusiaan di Gaza pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-JEPUN yang berlangsung di Tokyo.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara kolektifnya, ASEAN dan Jepun boleh memainkan peranan penting dalam kalangan komuniti global ke arah penyelesaian konflik Palestin-Israel yang aman dan bertahan lama.
“Kami, Malaysia tentunya mengutuk kekejaman berterusan Israel di Gaza. Ia mengingatkan kepada Hiroshima dan Nagasaki. Secara bersama kita harus menyokong usaha berterusan terhadap keamanan dan penyelesaian terhadap konflik Palestin – Israel,” katanya dalam ucapan pada agenda pertama Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, bertemakan Kajian Semula Hubungan ASEAN-Jepun.
Perdana Menteri terdahulu menyertai pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain pada Sidang Kemuncak yang bermula pagi tadi.
Pemimpin daripada 10 negara anggota kecuali Myanmar, berada di Tokyo untuk sidang kemuncak itu turut disertai Timor Leste.
Dalam pada itu, beliau mengiktiraf kepakaran Jepun dalam ruang siber dan Malaysia menggalakkan penerusan kepada kerjasama ASEAN-Jepun, untuk meningkatkan lagi standard keselamatan siber di rantau Asia Tenggara dengan perkongsian amalan terbaik.
Perdana Menteri berkata ini kerana dengan pengembangan landskap digital, ancaman siber juga meningkat secara cepat.
“Bersama-sama, kita mesti mengutamakan perlindungan untuk rakyat daripada eksploitasi siber yang berkaitan dengan keganasan, pemerdagangan orang serta pelbagai jenayah siber dan transnasional.”