Tumpuan :
Nasional

ASEAN 2025: MINDEF letak 3 fokus utama, beri perhatian dalam sektor dan segmen pertahanan

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.- Foto faiL

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan meletakkan tiga fokus utama menjelang kepengerusian ASEAN selain perhatian khusus dalam sektor dan segmen pertahanan yang mempunyai cabaran dan isu tersendiri.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, fokus pertama yang penting adalah memastikan sepanjang tempoh kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, tidak berlaku sebarang peningkatan ketegangan atau pergeseran yang berpotensi membawa kepada konflik serantau.

“Kedua, kementerian akan memastikan ASEAN diangkat sebagai platform diplomasi terbaik dalam menguruskan sebarang cabaran serantau terutamanya melalui saluran Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM Plus yang akan diadakan pada 17-21 November tahun ini.

“Ketiga, kita akan menjadikan ASEAN sebagai peluang memperkemas pelbagai latihan, kerjasama serta diplomasi pertahanan di rantau ini dengan negara-negara anggota, negara-negara pemerhati dan rakan strategik ASEAN yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2025 di Wisma Perwira di sini hari ini.

Tambahnya, dalam konteks keamanan sejagat pula, penglibatan Malaysia dalam misi-misi keamanan sejagat dan pemeliharaan hak asasi di bawah panji-panji badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan diteruskan.

Khaled turut menyatakan komitmen untuk terus menjayakan penyertaan dan sokongan Malaysia dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Beliau turut berhasrat membawa mesej penting semasa penyertaan dalam UN Peacekeeping Ministerial 2025 di Berlin, Jerman pada 13-14 Mei depan.

“Kementerian akan memastikan segala pendekatan, persediaan, corak latihan serta keperluan aset yang bersesuaian untuk membolehkan penyertaan dan sumbangan berkesan Malaysia dalam misi-misi pengaman dunia untuk diberikan perhatian yang sewajarnya.

“Komitmen ini dipasakkan pada kepercayaan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif mesti kekal menjadi suara dan kuasa penengah yang neutral, berprinsip dan tegas,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini