Tumpuan :
Nasional

ASEAN 2025: Malaysia mahu muktamad kod tatalaku Laut China Selatan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan, iaitu kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan ketika negara mempengerusikan ASEAN tahun hadapan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan perkara berkenaan ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing di Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Saya turut menyatakan hasrat Malaysia agar Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan, iaitu kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan dimuktamadkan semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun hadapan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Mohamed Khaled berkata Malaysia dan China mempunyai pelbagai kerjasama pertahanan, antaranya melalui perjanjian persefahaman yang dimeterai sejak 2005 dan akan terus diperkukuh selari dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua negara.

“Pertemuan dengan wakil negara China adalah sebahagian daripada amalan dan pendekatan negara dalam konteks diplomasi pertahanan.

“Pertemuan itu membincangkan pelbagai perkara termasuk peluang untuk meningkatkan kerjasama meliputi bidang teknologi dan industri pertahanan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini