Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
PUTRAJAYA: Malaysia yang menjadi tumpuan dunia akan memanfaatkan kedudukan itu dengan penglibatan penuh rakyat untuk melonjakkan ekonomi tempatan.
Promosi terhadap produk halal dan hasil kraftangan khususnya akan diberikan tumpuan sempena penganjuran mesyuarat melibatkan perwakilan pelbagai negara.
Dalam satu temubual eksklusif, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin menjelaskan, selain mesyuarat antara ketua-ketua kerajaan, ia juga penting untuk melibatkan masyarakat, selari dengan hasrat komuniti ASEAN.
Tambahnya, ia merupakan agenda nasional yang memerlukan pendekatan ‘whole of nation’ dan juga ‘whole of society’.
“Kita (Malaysia) sebagai tuan rumah perlu memainkan peranan untuk memastikan tetamu-tetamu yang akan berkunjung ke Malaysia sepanjang 2025 ini mempunyai persepsi yang sangat positif terhadap Malaysia.
“Jadi, daripada aspek menghormati tetamu, memberi layanan yang baik kepada tetamu, ia sebagai keramahan Malaysia yang sebenar.
“Kerana kita dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai budaya yang mantap, rakyat yang berpendidikan tinggi, warga kerja yang produktif,” katanya kepada Buletin TV3.
Justeru, bagi memberi penekanan yang berpaksikan rakyat, katanya semua kementerian dan agensi kerajaan sudah menyusun pelbagai program dan aktiviti.
Penyusunan program tersebut akan melibatkan pelbagai golongan daripada setiap peringkat umur termasuk belia, usahawan, masyarakat luar bandar, kanak-kanak serta warga emas dan wanita.
“Banyak program macam Persidangan Belia ASEAN kita akan buat juga, penganjuran kempen beli barangan buatan Malaysia untuk kumpulan sasar golongan usahawan.
ASEAN Plus Three (APT) Forum (iaitu) China, Jepun dan Republik Korea, APT Forum Memperkasa Wanita Luar Bandar dan Pendigitalan untuk masyarakat luar bandar, terutamanya wanita luar bandar,” jelasnya.
Dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemundak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini.
Mesyuarat Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) melibatkan semua negara anggota akan membuka tirai Sabtu ini di Langkawi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.