comscore
Tumpuan :
Nasional

ASEAN 2025: MAHB diminta tambah baik semua pintu masuk negara – Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke – Foto fail NSTP

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) diminta melaksanakan beberapa penambahbaikan di semua pintu masuk negara sebagai persiapan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia selaras arahan Kabinet yang mahu kementerian berkenaan memastikan semua pintu masuk negara bersedia.

Beliau berkata, kerja naik taraf dan penambahbaikan di semua pintu masuk negara, khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu disiapkan sebelum 31 Disember.

“Kita telah minta MAHB untuk ubah suai dan juga naik taraf bilik kenamaan (VIP) umpamanya, kerana kita jangka ramai kenamaan, pemimpin ASEAN akan memasuki melalui pintu masuk utama, terutama di KLIA Terminal 1.

“Bilik dan laluan VIP ditambah baik dan dinaik taraf. Dalam lapangan terbang sendiri, memang ada banyak penambahbaikan sedang berjalan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan teknologi sokongan darat terkini AirAsia, di sini hari ini.

Beliau berkata, Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) juga dijangka beroperasi semula awal Februari tahun depan, sekali gus memantapkan persiapan Kepengerusian ASEAN.

Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane, awal bulan ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul Kepengerusian ASEAN daripada Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone sebagai simbolik penyerahan jawatan berkenaan.

Anwar turut memperkenalkan logo dan tema untuk Pengerusi ASEAN Malaysia 2025, iaitu ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ pada majlis berkenaan.

Malaysia pernah memegang jawatan itu sebanyak empat kali, pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini