Tumpuan :
Nasional

AS$4 juta untuk biasiswa mahasiswa ASEAN

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (tiga kiri) merasmikan ASEAN Universities Exhibition and Forum 2025 (AEF2025) di ibu negara, hari ini. FOTO NSTP

Oleh: Zaid Shah Zulkarnain

KUALA LUMPUR: Sejumlah AS$4 juta telah diperuntukkan menerusi program Global Mobility and Scholarship Program (GEMS) bagi membantu mahasiswa ASEAN yang berpotensi, tetapi kurang berkemampuan melanjutkan pengajian mereka.

Dana ini dikumpulkan hasil sumbangan negara ASEAN serta sektor swasta, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh akses pendidikan tinggi di rantau ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, mengumumkan peruntukan ini dalam majlis perasmian ASEAN Universities Exhibition and Forum (AEF 2025), sebuah inisiatif yang pertama kali dianjurkan untuk mengumpulkan universiti dan pemegang taruh akademik ASEAN.

Forum ini bertujuan merancang masa depan pendidikan tinggi di rantau ini dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan, pertukaran pelajar, serta pembangunan tenaga kerja berdaya saing.

Sebagai sebahagian daripada agenda pendidikan ASEAN, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut melancarkan program ASEAN Student Mobility, yang menyaksikan 500 pelajar dari seluruh ASEAN berkumpul di Malaysia untuk menjalani interaksi akademik dan pertukaran budaya.

Program ini bertujuan mengeratkan hubungan antara generasi muda ASEAN serta melahirkan pemimpin masa hadapan yang berdaya saing di peringkat global.

Zambry menegaskan bahawa usaha ini selaras dengan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025, sekali gus membuktikan komitmen negara dalam memperkasakan sektor pendidikan tinggi serantau.

“Dana ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar ASEAN yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan untuk mencapai impian akademik mereka. Pada masa yang sama, kita mahu membina kerjasama lebih erat dalam bidang pendidikan tinggi di rantau ini,” katanya.

Dengan pelaksanaan inisiatif ini, Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pendidikan tinggi serantau, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang lebih mampan di ASEAN.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini