Tumpuan :
Nasional

AS keluar Perjanjian Paris, ASEAN kekal konsensus komitmen – PM

KUALA LUMPUR: Malaysia dan negara-negara ASEAN kekal konsensus komitmen dalam Perjanjian Paris meskipun keputusan Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian itu.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara akan terus mempercepatkan dasar transisi dan peralihan tenaga dalam isu perubahan iklim.

“Keputusan terakhir terkini AS yang keluar daripada perjanjian Paris, Malaysia kekal hubungan kita dengan negara lain tidak menafikan tentang perubahan iklim, yang memaksa kita buat beberapa penyesuaian.

“Sebab itu dasar kita termasuk transisi tenaga dan peralihan tenaga kita gunakan di Semenanjung terutama di Sarawak itu kita teruskan cara lebih agresif dan cepat,” jelasnya.

Tambah Anwar, keputusan kekal mengiktiraf isu perubahan iklim oleh negara-negara ASEAN itu bukan untuk mempengaruhi negara barat, sebaliknya memperkukuhkan jaringan sedia ada.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya lihat konsesus di ASEAN tidak berubah apakah kita mampu mempengaruhi dasar Amerika, kita tidak perlu bercita-cita tinggi sampai ke situ.

“Cuma kita jaga rakan-rakan dan jaringan sedia ada,” jelasnya.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) mengenai komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam Perjanjian Paris serta usaha memastikan negara barat khususnya AS kembali semula untuk mengiktiraf isu perubahan iklim sebagai isu yang penting di Dewan Rakyat hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini