KUALA LUMPUR: Datuk Jamal Abdillah ralat tidak berpeluang bertemu Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab biarpun sudah berhajat menziarahi komposer yang bertanggungjawab memperkenalkan namanya di persada muzik tempatan sejak era 1970-an.
Jamal berkata, beliau mahu menziarahi Allahyarham Ahmad Nawab di kediamannya, semalam, namun, dinasihatkan agar tidak berbuat demikian berikutan keadaan arwah yang lemah.
“Dua hari lalu, saya hubungi anaknya, Ismail. Saya nyatakan hasrat mahu menziarah arwah, iaitu semalam. Tetapi Ismail nasihat biarlah dahulu kerana ayahnya baru keluar dari Institut Jantung Negara (IJN).
“Kalau tidak, dapatlah jumpa arwah semalam. Hari ini saya berada di Johor. Tetapi, saya akan pergi ke majlis pengebumiannya esok.
“Rasa ralat tidak dapat jumpa semalam. Saya memang sudah rasa hendak jumpa beliau, tiba-tiba dimaklumkan khabar sedih hari ini… Memang sedih,” katanya. \
Allahyarham Ahmad Nawab dilapor meninggal dunia di kediaman di Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada jam 3.15 petang tadi.
Berita sedih pemergian Allahyarham Ahmad Nawab atau nama penuh, Ahmad Khan Nawab Khan itu disahkan cucunya, Khairul Hafis Khan.
Jamal menganggap Allahyarham Ahmad Nawab tidak ubah seperti abang.
“Arwah lemah lembut dan kurang bercakap. Tetapi, lagu-lagunya mekar hingga hari ini. Kebanyakan peminat mahukan saya nyanyikan lagu-lagu arwah cipta.
“Arwah seperti abang buat saya, beliau dekat dengan saya. Kalau pergi rakaman pun, rasa selesa dan akrab dengannya.
“Arwah banyak mengajar daripada segi penyampaian… Beliau individu yang mahukan kesempurnaan. Beliau jaga semuanya dan saya banyak belajar daripada arwah,” katanya.
Jamal berkata, kali terakhir bekerjasama dengan arwah adalah menerusi Konsert Tribute Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab yang dianjurkan syarikatnya, Binjamal Event dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Istana Budaya, kira-kira dua tahun lalu.
“Dapatlah saya tunaikan tanggungjawab menghargai seniman negara… Alhamdulillah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.