KUALA NERUS: Suasana pilu menyelubungi rumah Abdul Halim, 71 tahun, yang maut bersama lima lagi mangsa dalam nahas jalan raya di kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabor, petang semalam.
Menurut anak mangsa, Zamila Abdul Halim, 50 tahun, ayahnya bersama tujuh sekeluarga ke kenduri Akikah di Cheneh.
Ketika dalam perjalanan pulang ke Batu Rakit, kereta yang dipandu oleh anak tirinya Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 26 tahun, bertembung dengan kenderaan jenis sama dalam kemalangan itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jenazah Abdul Halim dan cucu tirinya, Alisha Mardhiah Muhammad Zikri, 2 tahun, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Rakit sebelum Zohor.
Jelas Zamila, sebelum sambutan Aidilfitri, ayahnya mahu makan tapai pulut dibungkus dengan daun jambu laut.
Ayahnya sendiri yang mencari daun jambu laut itu.
Tapai pulut yang dibuat Zamila itu sempat dimakan pada hari raya pertama, tiga hari lalu.