comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Arwah isteri terbaik dalam semua aspek’ – suami Rohana

FOTO: NSTP

SUBANG JAYA: “Dia adalah isteri terbaik, itulah yang saya boleh gambarkan. Segala kebaikannya tidak boleh dilupakan.” Demikian ungkapan suami Allahyarham Rohana Jalil, 68 tahun iaitu Jahangir Khan, 66 tahun.

Jahangir mengakui, keperibadian murni dimiliki arwah sememangnya tiada tolok ganti, malah meluahkan rasa syukur dapat bersamanya sehingga akhir hayat.

FOTO: NSTP

Selama 40 tahun menyemai benih cinta sebagai suami isteri, cukup membuatkan Jahangir yang juga pesara polis menjadi insan paling bahagia dan tidak dapat melupakan segala momen indah bersama arwah.

“Apa yang saya boleh rangkumkan mengenai keperibadian arwah, beliau adalah insan yang terbaik dalam semua aspek. Saya bertuah kami dapat kekal hidup bersama sehingga akhir hayat. Walaupun sibuk dengan kerjaya, saya sebagai pegawai polis dan beliau pula penyanyi, namun kehidupan rumah tangga kami bahagia,” katanya ditemui selepas pengebumian arwah Rohana di Tanah Perkuburan Islam USJ22, di sini, hari ini.

Artikel berkaitan: Jenazah Rohana Jalil selamat dikebumikan

Jahangir berkata dia menyedari tahap kesihatan arwah mula merosot tahun lalu apabila melihat tubuh isterinya semakin kurus. Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kehadiran tiga cahaya mata yang turut bersama menjaga arwah.

“Apabila melihat tubuh arwah semakin susut dan kurus, saya ada mengajaknya ke hospital untuk melakukan pemeriksaan kesihatan, tetapi arwah menolak dan memberitahu tiada apa-apa yang berlaku. Namun, April lalu apabila arwah sudah sakit, saya terus bawa ke hospital dan doktor memaklumkan arwah mengalami kebocoran usus.

“Selama dua bulan saya menjaganya bersama anak-anak,” katanya.

Artikel berkaitan: Rohana Jalil meninggal dunia

Rohana atau nama sebenarnya Dara Abd Jalil yang juga penyanyi popular era 1980-an menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 11.34 malam tadi. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21 di sini, kira-kira jam 11.45 pagi tadi.

Loading...
Terkini