Tumpuan :
Nasional

Arus deras, paras air tinggi jadi punca tebing sungai runtuh – JPS

Tinjauan keadaan tebing sungai yang runtuh di Taman Lembah Maju, Ampang.0– Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Arus deras dan paras air tinggi susulan hujan lebat menjadi punca berlaku tanah runtuh pada tebing anak Sungai Kerayong berhampiran Taman Lembah Maju, Ampang dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, dua kenderaan membabitkan sebuah lori dan kereta yang diparkir hampir jatuh ke dalam sungai selepas sebahagian tembok tebing sungai berkenaan runtuh.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Langat, Mohd Azizan Ajimi, berkata arus deras menghakis tanah di bahagian dalam tembok tebing sungai terbabit.

Katanya, terdapat aduan berlaku runtuhan kecil di longkang kelolaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berhampiran lokasi pada September lalu dan belum dibaiki.

“Semalam, dengan taburan hujan yang agak tinggi di kawasan Ampang dan beberapa lagi kawasan dalam Hulu Langat, runtuhan pada longkang MPAJ itu menjadi semakin serius.

“Seterusnya berlaku hakisan tanah hingga memberi kesan kepada struktur dinding konkrit L-shape JPS (tebing anak Sungai Putih) sekaligus menyebabkannya runtuh,” katanya ketika ditemui lokasi, hari ini.

Beliau berkata pihaknya sudah berbincang dengan MPAJ untuk mengenal pasti sama ada kawasan tempat letak kereta dikelolakan MPAJ yang terletak hampir dengan tebing sungai wajar terus dibuka untuk kegunaan awam.

“Kita bimbang runtuhan akan merebak dan ini sekaligus akan menimbulkan bahaya kepada orang ramai dan harta awam.

“Pada masa sama, kita akan berkoordinasi dengan pihak MPAJ untuk melakukan kerja pembaikan pada longkang MPAJ dan tebing konkrit L-shape JPS di lokasi yang terjejas,” katanya.

Untuk kerja pembaikan, katanya MPAJ perlu membaiki longkang mereka yang rosak terlebih dahulu sebelum pihak JPS membina semula tebing konkrit L-shape yang runtuh, sama seperti sebelum ia runtuh.

Tambahnya, kerja pembaikan dijangka akan mengambil masa antara satu hingga dua bulan.

Dalam pada itu, katanya pihaknya juga akan meminta kerjasama MPAJ untuk mengeluarkan notis terhadap penduduk rumah teres yang tinggal berhampiran tebing sungai.

“Terdapat penduduk yang meletakkan kenderaan dan membina struktur di atas tanah rizab JPS yang terdapat di hadapan rumah masing-masing.

“Ruang itu perlu dikosongkan dan tidak sepatutnya ada kenderaan atau struktur binaan kerana ia rizab sungai. Kita takut ada berlaku runtuhan di kawasan (tebing) itu,” katanya.

Berikutan itu, perlu dilakukan pemutihan dengan mengeluarkan notis kepada penduduk tidak dibenarkan meletakkan kereta pendirian di atas tanah rizab sungai.

Sementara itu, penduduk yang mahu dikenali sebagai Lee, 56, menyuarakan kebimbangan kejadian sama akan berulang berikutan cuaca sekarang yang kerap hujan.

“Kita harap pihak PBT (pihak berkuasa tempatan) ambil tindakan segera untuk baiki tebing yang runtuh.

“Kita tidak mahu kejadian sama berulang, itu yang paling merisaukan penduduk,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Adrean anak Untam, 44, berkata ini kejadian kedua dengan kejadian pertama pernah berlaku pada tahun lalu tidak jauh daripada lokasi runtuh semalam.

“Ini kejadian kali kedua dan agak serius. Kita dapati jalan yang kelihatan mulai retak, justeru kita minta pihak berkuasa turun ke lokasi buat pemeriksaan.

“Jika tidak diambil tindakan segera, penduduk berhadapan dengan bahaya. Ia boleh runtuh pada bila-bila masa, dengan cuaca yang kerap hujan sekarang. Sebarang kerosakan perlu dibaiki segera,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini