PETALING JAYA: Tidak kira lagu atau filem, segala karya seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee tetap segar di ingatan rakyat merentasi pelbagai kaum.
Bagi Abdul Kadir Mamat, nostalgia sebagai pelakon tambahan beberapa filem tokoh seni negara itu, termasuk filem evergreen ali baba bujang lapok. masih terpahat dalam ingatan.
Ia sering membawa senyum di wajah beliau di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapinya di usia tua, termasuk masalah kesihatan.
Tidak ramai tahu Abdul Kadir atau Pak Dir adalah pemegang watak penyamun pertama dijirus minyak panas oleh Marjina lakonan seniwati Datuk Sarimah Ahmad dalam sedutan filem itu.
Ujar Pak Dir, babak filem Ali Baba Bujang Lapok itu adalah antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan kerana tidak hanya dapat bertemu Allahyarham P. Ramlee, malah dia turut dapat beraksi bersama pelakon lain yang turut memegang watak 40 penyamun.
Antaranya Ibrahim Pendek, H-M Busra, S. Sudarmadji, A Galak serta Sarawan Singh.
Selain filem itu, dia turut memegang watak tambahan dalam beberapa filem arahan P. Ramlee lain antaranya, Kanchan Tirana, Enam Jahanam dan Pendekar Bujang Lapok.
Jelas Pak Dir, dia membawa diri ke Kuala Lumpur ketika berusia 18 tahun setelah pinangannya ditolak keluarga kekasih hatinya sebelum merantau ke Singapura atas saranan Tan Sri S.M Salim.
“Masa ke Singapura mula jumpa Aziz Satar dan S. Samsudin lepas tu jumpa P.Ramlee. Rasa takut lah sebab dia bengkeng jadi rasa berani jumpa dia kata mu nak belakon ke ya saya nak.” katanya kepada Buletin TV3
Namun disebalik kenangan layar perak itu, Pak Dir kini hanya mampu terlantar dan diuruskan isterinya, Hasmah Yusof, 56 tahun.
Pak Dir diserang Angin Ahmar selain menghidap Kanser Prostat dan Asma sekian lama.
Beliau dan pasangan hidup dalam serba kekurangan di Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu, Kelantan
Bagi Pak Dir, hari-hari silam beliau memiliki kudrat menunggang motosikal menjaja makanan ringan selain aktif menyertai rondaan Kawasan Rukun Tetangga pada sebelah malam, kini hanya tinggal kenangan lampau.
Kini, warga emas berusia 91 tahun yang menetap di Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu, hanya bergantung hidup kepada bantuan 400 ringgit disalurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) turut tampil memberi bantuan berkala sebelum ini termasuk menyumbang kerusi roda untuk Pak Dir.
Namun jelasnya pada Krew TV3, beliau dan isterinya memerlukan pembelaan dan bantuan lebih menyeluruh bagi menguruskan keperluan hidup harian yang penuh seribu satu cabaran di usia tua mereka.
Bagi Pak Dir sendiri, dia tidak ralat apabila pelakon tambahan lama seperti beliau dilupakan.
Dalam pada itu Pengerusi YKAT, Datuk Irwan Shah yang juga dikenali sebagai DJ Dave mencadangkan pendekatan lebih agresif di ambil dalam usaha membantu artis pelbagai cabang seni.
Ia termasuk mewujudkan kemudahan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial, Perkeso buat penggiat seni.
“Kadang-kdang seorang pergi menyanyi waktu show dapat 10,000 ke katakan, dari 10,000 itu penganjur itu dipaksa potong Socso mungkin Socso dengan EPF kemudian carum untuk artis itu dan kerajaan pun akan keluarkan kan EPF 50/50 kan”
Skim itu penting bagi membela nasib artis terutama mereka yang ditimpa musibah atau mengalami penyakit kronik.
Justeru, selain meneliti skim tabungan untuk mereka, kerajaan juga digesa menyalurkan dana untuk meringankan beban artis yang hidup dengan serba kekurangan atau yang memerlukan rawatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.