Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang baharu, berkuat kuasa 30 Januari lalu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan bahawa beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 2022 dan pernah memegang jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota serta Panglima Markas 2 Divisyen di Pulau Pinang.
“Arman memiliki Ijazah Sarjana Sains Sosial dalam bidang Pengajian Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2012.
“Beliau juga pernah dilantik sebagai penasihat ketenteraan kepada mantan Menteri Pertahanan dari 2014 hingga 2018,” menurut kenyataan itu.
KPT yakin dengan pengalaman serta reputasi kepimpinan yang dimiliki, beliau mampu menerajui dan memperkasa tadbir urus UPNM, khususnya dalam memperkukuh pentadbiran organisasi, pembangunan akademik, serta penyelidikan berteraskan sains dan teknologi pertahanan bagi melahirkan bakat terbaik dalam sektor pertahanan dan keselamatan negara.
Dalam pada itu, kementerian turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad atas jasa beliau sepanjang menerajui UPNM sebelum ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.