Oleh: Luqman Kamal
PETALING JAYA: Baru-baru ini, Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) mengesan kira-kira 40 peratus daripada 5,000 kediaman umat Islam yang diperiksa sekitar Lembah Klang, tersasar daripada kedudukan kiblat yang tepat.
Pada dasarnya, menghadap kiblat adalah syarat sah solat dan hukumnya adalah wajib. Oleh demikian, penentuan arah kiblat yang tepat amat penting termasuk di kediaman.
Rujukan oleh pakar diperlukan untuk memastikan pengendalian penentuan arah kiblat dilakukan dengan garis panduan yang tepat.
Pengarah Ukur Seksyen Graviti dan Falak, bahagian Ukur Geodetik, JUPEM, Sr Muhammad Daud Mahdzur berkata, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengukur arah kiblat tanpa ilmu yang betul.
“Untuk menentukan arah kiblat memerlukan satu pengetahuan teknikal yang teliti bagi memastikan ketepatan arah kiblat yang ditandakan itu betul.” katanya.
Untuk memudahkan orang awam, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah berkongsi cara atau ‘demo’ yang tepat untuk mengukur arah kiblat di program Malaysia Hari Ini, baru-baru ini. Kaedah yang digunakan dalam perkongsian ini dikenali sebagai kaedah ‘Satu tongkat yang tegak’.
Antara barang yang diperlukan ialah:
- Pembaris
- Kertas
- Jadual waktu arah kiblat lintasan matahari (jadual waktu ini merupakan waktu di mana matahari berkedudukan tegak di atas Kaabah)
- Objek tegak seperti bingkai tingkap, pintu dan sebagainya.
Bagi penduduk di Wilayah Persekutuan anda boleh layari laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan jadual waktu arah kiblat lintasan matahari atau klik sini.
Bagi penduduk di Selangor anda boleh layari laman Facebook rasmi Jabatan Mufti Selangor atau klik sini.
Langkah-langkah mengukur arah kiblat menggunakan bayang matahari:
1) Rujuk Jadual waktu arah kiblat lintasan matahari untuk memastikan anda mengukur di waktu yang tepat.
2) Pastikan bayang matahari dapat memasuki ke dalam rumah anda. Sebagai contoh melalui tingkap.
3) Meletakkan kertas bersebelahan dengan dinding yang berdekatan dengan bingkai tingkap.
Bayang matahari yang terkena pada bingkai tingkap akan menghasilkan bayang pada kertas.
4) Ambil pembaris dan gariskan pada bayang matahari yang terhasil di kertas.
Bayang matahari yang terhasil adalah garisan kiblat yang kita cari.
Anda juga boleh menandakan arah kiblat di bilik-bilik yang lain di kediaman anda dengan menggunakan kertas yang sama. Anda hanya perlu memastikan dinding bilik itu adalah selari dengan dinding yang digunakan untuk ukur arah kiblat.
Cara-cara untuk pindahkan arah kiblat ke bilik yang lain:
1) Ambil kertas yang sudah ditanda dan rapatkannya di dinding di bilik yang kita ingin ukur.
2) Lipatkan bahagian kertas yang sudah ditanda dengan pembaris.
3) Letakkan penanda arah kiblat di kawasan lipatan kertas berkenaan.
Diharapkan perkongsian ini dapat membantu anda bagi menentukan arah kiblat di kediaman anda.
Untuk ketahui dengan lebih lanjut sila rujuk video ini: