Oleh: Azri Mukhlas
MAKKAH: Kerajaan Arab Saudi secara dasarnya bersetuju dengan hasrat Malaysia untuk menganjurkan Simposium Perdana Haji dan Umrah di peringkat Asia Tenggara.
Keputusan ini disampaikah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mengakui telah menghubungi Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah untuk menyampaikan hasrat negara itu.
Menurut Datuk Dr Mohd Na’im, Dr Tawfiq secara dasarnya menyambut baik cadangan Malaysia itu dan bersetuju untuk memberi kerjasama.
“Alhamdulillah ada balasan positif dari Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi dan perkara ini perlu perbincangan lanjut. Pihak TH juga secara dasarnya telah bersedia sekiranya Simposium ini diadakan di negara kita,” katanya kepada wartawan selepas melancarkan program kebersihan Masyair di Makkah.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan secara lebih lanjut termasuk dengan pihak TH dalam merealisasikan penganjuran simposium berkenaan.
Simposium Perdana Haji yang dianjurkan secara tahunan di Arab Saudi menghimpunkan cendekiawan dan pakar dari seluruh dunia untuk berkongsi pengetahuan, penemuan penyelidikan dan amalan terbaik dalam semua aspek ibadat haji.