Tumpuan :
Nasional

APMM tahan nelayan asing disyaki tangkap ikan di perairan negara

Oleh: Kadir Edison

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Miri berjaya menahan sebuah vesel penangkapan ikan nelayan asing (VNA) disyaki dari Vietnam dengan hasil rampasan dianggarkan bernilai sekitar RM1.5 juta.

Pengarah Zon Maritim Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, vesel terbabit ditahan oleh sebuah kapal milik agensi ini yang sedang melaksanakan rondaan di sekitar perairan Sarawak dalam Op Khas Raja Laut, Op Permai, Op Khas Naga Timur dan Op Tiris pada kedudukan lebih kurang 174 batu nautika dari barat laut Tanjung Baram semalam.

“Pada awalnya VNA ini tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri apabila diarahkan untuk menghentikan vesel.

“Melihat keadaan yang berlarutan, kapal Maritim Malaysia bertindak pantas memintas dan melakukan force boarding bagi menghentikan VNA tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata ketika ditahan, terdapat seramai 4 orang awak-awak dan seorang tekong yang kesemuanya adalah lelaki berusia dalam lingkungan 35 hingga 55 tahun disyaki warganegara Vietnam.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap kelima-lima nelayan asing terbabit tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri serta kebenaran untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara.

“Hasil keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih kurang RM1.5 juta dan VNA serta kesemua kru telah diiring ke Pusat Tahan Vesel Zon Maritim Miri untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya.

Kes disiasat di bawah peruntukan Akta Perikanan 1985 yang jika sabit kesalahan tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta manakala awak-awak denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini