Tumpuan :
Jenayah

APMM tahan lima PATI di perairan Kota Tinggi

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan lima pendatang asing warga Indonesia yang disyaki cuba memasuki negara ini secara haram di perairan Tanjung Bulat, Kota Tinggi, hari ini.

Pemangku Pengarah APMM Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kelima-lima lelaki berusia antara 23 hingga 53 tahun itu ditahan pada 5 pagi.

Beliau berkata sejurus menerima maklumat daripada orang awam, aset APMM bergegas ke lokasi dan berjaya menahan sebuah bot gentian kaca di kedudukan 0.3 batu nautika timur Tanjung Bulat.

“Pemeriksaan mendapati bot yang menggunakan enjin jenis Yamaha 40 kuasa kuda itu tidak mempunyai nombor pendaftaran selain kelima-lima mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Najib berkata kesemua warga asing itu dan bot ditahan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Beliau pada masa sama memaklumkan rondaan dan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran yang menggunakan laluan laut sebagai jalan masuk dan keluar terutamanya menjelang musim perayaan.

“Warga Indonesia yang ingin datang ke Malaysia atau pulang ke kampung halaman terutamanya pada musim perayaan dinasihatkan supaya menggunakan laluan yang sah (mengikut undang-undang) tanpa perlu menggadai nyawa,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini