Oleh Kumaran Rajamoney
LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis menahan dua bot nelayan Indonesia di kedudukan lebih kurang enam batu nautika barat daya Pulau Segantang, Langkawi pada pagi semalam.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, dua bot itu ditahan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara sekitar jam 10 pagi.
Hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot masing-masing dikendalikan oleh enam kru termasuk tekong berumur lingkungan 16 hingga 40 tahun.
“Kesemua 12 nelayan Indonesia ini ditahan kerana didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan bot tidak mempunyai permit menangkap ikan daripada Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.”
“Sebelum ini tular di media sosial mengatakan bahawa APMM tidak menghiraukan aduan dari komuniti nelayan. Isu ini telah dapat disangkal dengan kejayaan tangkapan dua bot berkenaan,” katanya.
Turut ditahan ialah bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut kira-kira 200 kilogram ikan campur dan bekalan diesel 230 liter.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.
Sabitan di atas kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.
Bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan.
Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.