Tumpuan :
Nasional

APMM Tahan bot nelayan Vietnam disyaki ceroboh perairan negara

Foto Ihsan Maritim

KOTA BHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama seorang tekong dan tiga kru disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara, Khamis lepas.

Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata tangkapan dilakukan di kedudukan 96 batu nautika Timur Laut Muara Tok Bali dalam rondaan Op Damai, Op Naga Barat dan Op Tiris.

Beliau berkata bot itu dikesan tidak memberi kerjasama ketika diarahkan berhenti dan cuba menuju ke sempadan perairan negara, namun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan menemukan seorang tekong dan tiga kru kesemuanya berumur antara 48 hingga 66 tahun disyaki warga Vietnam.

“Kira-kira 1,000 kilogram (kg) hasil laut ditemukan dan 200 liter diesel, peralatan navigasi serta komunikasi dirampas dengan anggaran keseluruhan melebihi RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Foto Ihsan Maritim

Erwan Shah berkata jika sabit kesalahan di bawah undang-undang perikanan negara, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 terhadap setiap kru.

Beliau berkata kesemuanya turut disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini