Tumpuan :
Nasional

APMM tahan 7 nelayan Thailand ceroboh perairan Perlis

Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis menahan tujuh nelayan warga Thailand dalam tiga buah bot yang menceroboh perairan negara di Kuala Perlis untuk menjarah hasil laut negara. – Foto: Ihsan APMM

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tujuh nelayan warga Thailand kerana menceroboh perairan negara di Kuala Perlis, di sini untuk menangkap ikan semalam.

Nelayan berkenaan ditahan dalam tiga buah bot yang berpengkalan di Thailand selepas dikesan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis di tiga kedudukan berbeza iaitu 0.84 batu nautika dari barat Sungai Bahru.

Manakala dua lagi bot nelayan dikesan pada kedudukan dalam jarak yang lebih kurang iaitu 0.4 batu nautika dari barat pesisiran Kuala Perlis.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, anggotanya mengesan kehadiran ketiga-tiga bot berkenaan ketika melakukan rondaan Op Aman/Op Tiris di sekitar perairan Perlis.

“Ketika ditahan, ketiga-tiga bot nelayan asing berkenaan sedang menangkap ikan di perairan negara ini dan hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit berpengkalan di Thailand.

“Bot itu dikemudi seorang tekong dan lima orang awak-awak warganegara Thailand berusia antara 13 hingga 47 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, semua suspek serta rampasan bot dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Bot dan enjin sangkut bergalah dianggarkan bernilai hampir RM35,000 dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 Seksyen 15 (1) (a) kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

“Selain itu juga, nelayan berkenaan juga didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini