Tumpuan :
Nasional

APMM tahan 2 kapal pindah minyak tanpa kebenaran di Sabah

Dua buah kapal ditahan di kawasan perairan berhampiran Pulau Mantanani, dekat Kota Kinabalu, semalam selepas melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran. – FOTO: Ihsan APMM

KOTA KINABALU: Dua kapal kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan berhampiran Pulau Mantanani, dekat sini, semalam ketika sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran.

Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata penahanan dilakukan Kapal Maritim (KM) Arau selepas curiga dengan kedudukan dua kapal berkenaan.

“KM Arau yang membuat rondaan di kawasan berkenaan memeriksa kedua-dua kapal berkenaan yang disyaki melakukan aktiviti `ship to ship (STS).

“Dan hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal ini berdaftar di Malaysia dan masing-masing dikendalikan oleh lapan kru warga tempatan termasuk nakhoda.

“Kedua-dua kapal itu gagal mengemukakan dokumen lesen (Akta Kawalan Bekalan 1961) CSA dan lesen (Akta Kemajuan Petroleum 1974) PDA bagi tujuan memindahkan minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Che Engku Suhaimi berkata hasil rampasan dari kedua-dua kapal berkenaan dan minyak diesel dianggarkan berjumlah hampir RM80,000.

Katanya, kedua-dua kapal kemudian ditahan dan disiasat mengikut Akta Bekalan 1961, Akta Kastam 1987 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

“Pihak kami serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan supaya komuniti di laut sentiasa patuh kepada undang-undang digariskan pihak berwajib.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan salah laku atau aktiviti jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Sabah dan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini