Tumpuan :
Nasional

APMM tahan 2 bot bawa pelbagai hasil laut spesies terancam

Maurice Grenville (tengah) menunjukkan hasil laut spesis terancam yang dirampas dalam kedua-dua bot berkenaan. – Foto: NSTP

KUDAT:  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot pancing bersama enam individu yang membawa muatan pelbagai hasil laut spesies terancam di perairan daerah ini, Rabu lalu.

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata,  empat daripada suspek nelayan warga asing.

Kedua-dua bot ditahan kapal KM Ikhlas ketika operasi kira-kira 58 batu nautika Barat Laut Simpang Mengayau, jam 12.35 tengah hari.

Jelasnya, pemeriksaan terhadap bot pertama mendapati ia dikendalikan dua individu warga Filipina dan seorang warga Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut ditemukan sejumlah 35 karung berisi ikan buntal dianggarkan seberat 630 kilogram (kg), kerang kering (kima) 76 karung dianggarkan seberat 1,368 kg, penyu kering yang diisi di dalam karung berjumlah 39 karung dan 14 kotak seberat 865 kg.

Dua bot membawa muatan pelbagai hasil laut spesis terancam ditahan APMM di perairan Kudat. -Foto: NSTP

“Turut ditemukan dua karung berisi sipit kering (kahanga) anggaran berat 30 kg, kuda laut dengan berat enam kg, satu karung berisi sirip ikan yu dan enam kotak berisi ikan beku (maming napoleon), satu kotak berisi 25 ekor,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Maurice Grenville berkata, sebuah lagi bot yang diperiksa didapati membawa muatan hampir 2,100 kg kima dan ikan buntal kering sejumlah 375 kg.

“Bot berkenaan dikendalikan oleh dua individu warga tempatan berusia 50 dan 57 tahun dan seorang lagi warga Filipina berusia 45 tahun.

“Semua suspek bersama bot dan barang rampasan ditahan dan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat bagi tindakan lanjut,” katanya.

Foto: NSTP

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk kedua-dua bot pancing itu dianggarkan RM1.5 juta.

“Kes disiasat mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

“Kes turut disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Kastam 1966, Akta Imigresen 1959/1963 kerana disiasat memiliki dokumen pengenalan diri meragukan dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 serta Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga 2008,” katanya.

Zon Maritim Kudat katanya, memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim membantu pihak agensi dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada APMM di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Loading...
Terkini