Tumpuan :
Nasional

APMM selamat 6 pelancong terkandas di Pulau Rawa

Enam termasuk empat pelancong asing yang terkandas di Pulau Rawa Mersing Johor akibat cuaca buruk dibawa keluar hari ini. – FOTO Ihsan APMM

MERSING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya membawa keluar enam termasuk empat pelancong asing yang terkandas di Pulau Rawa akibat cuaca buruk, hari ini.

Pengarah Maritim Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, operasi menyelamat dilakukan selepas menerima aduan daripada pengusaha resort pulau terbabit.

“Kami dapat panggilan pada 7.45 pagi untuk membawa keluar pelancong terdiri daripada masing-masing dua warga Perancis, Singapura dan warga tempatan.

“Mereka yang berusia lingkungan 35 hingga 60 tahun itu selamat tiba ke Jeti Awam Syahbandar, Mersing, 9.45 pagi.

“Walaupun ketika itu hujan lebat dan laut yang bergelora, bot ronda APMM Maritim Malaysia berjaya memindahkan mereka dengan baik dan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, APMM meminta semua komuniti maritim sentiasa berwaspada pada Monsun Timur Laut ketika ini.

“Fenomena air pasang besar yang diramalkan bermula 19 November lalu hingga 31 Disember ini amat berbahaya kepada semua aktiviti di pesisir pantai dan lautan.

“Sebarang aduan kecemasan dan aduan keselamatan di laut segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07 219 9404,” katanya.

Loading...
Terkini