Tumpuan :
Nasional

APMM Perak bantu pindahkan mayat kru kapal kargo

Foto APMM

Oleh Shaharil Kadir

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak membantu memindahkan mayat seorang kru kapal kargo warga Rusia, yang meninggal dunia di perairan Pulau Pangkor, jam 9 malam tadi.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup, kapal kargo yang berpusat di Panama itu dilaporkan dalam perjalanan menuju ke Phuket, Thailand dengan seorang kru lelaki mengalami kecederaan serius di kepala.

Menurut laporan awal yang diterima daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) pada jam 4.55 petang semalam, lokasi Kapal MV ONE DESTINY itu berada pada kedudukan 30 batu nautika selatan Pulau Pangkor.

Sejurus menerima laporan, aset Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi bagi pemindahan mangsa ke darat.

Mangsa Biriulin Mikhail, 52, warga Rusia mengalami pendarahan serius di kepala dipercayai telah meninggal dunia di atas kapal ketika berada di perairan Malaysia.

Mayat mangsa selamat dibawa ke Jeti Perikanan kampung Acheh, Sitiawan pada jam 10 malam tadi dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Seri Manjung Perak sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang maklumat dan insiden kecemasan di laut ke MERS 999 atau hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk maklum balas segera.

Loading...
Terkini