Tumpuan :
Nasional

APM Pulau Pinang selamatkan wanita warga emas sakit dikelilingi sampah

Keadaan rumah wanita warga emas di Jalan Mano, di sini, yang ditimbuni barangan lusuh dan kitar semula menyebabkan dia tidak dapat keluar daripada bilik di tingkat atas.-Foto: NSTP

GEORGETOWN: Entah sudah berapa lama, seorang wanita warga emas yang sakit dan tidak dapat keluar daripada bilik di tingkat atas rumahnya di Jalan Mano, di sini, hari ini berikutan dikelilingi timbunan sampah, akhirnya diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang.

Mangsa yang berusia 86 tahun itu ketika ditemukan pasukan APM, hanya mampu terbaring di katil menanti diselamatkan.

Pegawai APM Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan daripada keluarga mangsa jam 4 petang.

Foto: NSTP

Katanya, mangsa didakwa tidak dapat berjalan dan sukar bergerak keluar daripada kediaman dua tingkat itu berikutan dipenuhi dengan barangan lusuh dan kitar semula yang dikumpulnya.

“Mangsa dikatakan mahu tinggal di pusat jagaan warga emas berhampiran namun berikutan keadaannya yang sakit dan sukar keluar daripada timbunan sampah di dalam rumah, keluarga menghubungi APM bagi mendapatkan bantuan.

“Seramai empat anggota APM terbabit dalam tugas itu dengan menggunakan pengusung dan teknik ‘berekor’ bagi membawa mangsa keluar daripada rumah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhammad Aizat berkata, mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 4.40 petang dan rawatan awal turut diberi kepada wanita berkenaan.

Jelasnya, mangsa kemudian dibawa keluarganya ke pusat jagaan warga emas dengan menaiki kereta.

Foto: NSTP

Wanita terbabit mempunyai sejarah penyakit kencing manis, hipertensi, gangguan pendengaran dan lemah badan.

“Mangsa tidak berkahwin dan tinggal bersendirian di rumah itu serta dipercayai sudah lama mengumpul barangan terpakai dan lusuh.

“Keluarganya mendakwa mangsa yang kerap terjatuh sering menelefon mereka pada tengah malam bagi meminta bantuan.

“Berikutan itu, keluarganya mahu menghantar mangsa ke pusat jagaan dengan persetujuan wanita berkenaan,” katanya.

Difahamkan, wanita itu bukan sahaja menyimpan barangan di dalam rumah, tetapi juga di halaman kediamannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini