Tumpuan :
Nasional

APM Pahang kumpul bantuan mangsa banjir di Pantai Timur

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Setiap kali musim banjir, golongan terkesan amat memerlukan pelbagai barang keperluan harian dan lazimnya penderitaan dialami mangsa sentiasa mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan.

Bagaimanapun, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel Che Adam A. Rahman berkata hasil pemantauan setiap kali musim banjir sebelum ini, agihan dihulurkan tidak seimbang dan ada ketikanya sumbangan diterima mangsa membabitkan jenis barang sama.

Justeru katanya, bagi mengelak masalah itu berulang, APM Pahang mengambil inisiatif menjadi pusat pengumpulan barangan sumbangan.

Katanya, tindakan itu bagi memudahkan individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat menghulurkan sumbangan pelbagai barang keperluan mangsa banjir.

“Setiap kali monsun timur laut tiga negeri di Pantai Timur teruk terjejas tetapi ketika ini keadaan banjir di Pahang masih terkawal,”

“Justeru APM Pahang mengambil inisiatif bertindak sebagai pusat pengumpulan barangan sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh kawasan di Pantai Timur yang terjejas dengan banjir,”

“Antara barangan keperluan dikumpul ialah makanan kering, minuman, tuala wanita, lampin pakai buang, pakaian sekolah, alat tulis, telekung dan susu formula bayi.” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Menurut Che Adam, pihaknya juga mengharapkan sumbangan jaket keselamatan terutamanya untuk kanak-kanak.

“Ramai mangsa banjir khususnya kanak-kanak tidak mempunyai jaket keselamatan sendiri dan saya mengharapkan ada pihak tampil menyumbang peralatan itu.” katanya.

Che Adam berkata, APM Pahang menguruskan sumbangan diterima dan agihan akan dilakukan secara sistematik termasuk menghantar barangan terus kepada mangsa berdasarkan keperluan serta seimbang di setiap kawasan terjejas banjir bagi mengelak berlaku lambakan.

“Jika kita lihat di lapangan setiap kali musim banjir sebelum ini, banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan,”

“Bagaimanapun ada ketika setiap mangsa banjir menerima jenis barangan sama, ada ketika menerima bantuan secara berlebihan tetapi ada mangsa di lokasi lain tidak menerima,”

“Jadi bagi mengelak masalah itu berlaku APM Pahang akan uruskan agihan secara adil kepada setiap penerima di semua lokasi terjejas.” katanya

Menurutnya, agensi terbabit mempumyai kemudahan lojistik mengurus penghantaran barangan sumbangan termasuk di kawasan terputus perhubungan akibat banjir.

Bagaimanapun katanya, APM Pahang tidak menerima sumbangan wang dan pakaian terpakai.

Pihak yang ingin menghulur sumbangan katanya, boleh menghubungi pegawai APM Pahang di talian 013-9384991 (Kapten Zaubidah) atau 019-9093694 (Leftenan Norisman).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini