Tumpuan :
Nasional

APM kenal pasti lebih 6,000 hotspot banjir, tanah runtuh dan kepala air

Datuk Aminurrahim Mohamed (dua kiri) menyampaikan Penganugerahan Reben Perkhidmatan APM Negeri Kelantan Tahun 2023/2024 ketika Majlis Apresiasi Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Reben Perkhidmatan APM Negeri Kelantan Tahun 2023/2024. – FOTO: NSTP

MACHANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah mengenal pasti lebih 6,000 ‘hotspot’ bencana di seluruh negara membabitkan lokasi banjir, tanah runtuh dan kepala air.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, kriteria yang dikenal pasti sebagai lokasi bencana adalah berdasarkan trend yang berlaku dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, maklumat mengenai bencana diambil daripada jabatan teknikal untuk digabung serta dikumpulkan bagi mengenal pasti bahawa kawasan berkenaan perlu diberikan perhatian.

“Pada masa sama, pihak kami juga akan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dan agensi lain bagi memberi fokus kepada kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti itu.

“Kawasan ini akan diberi perhatian termasuk melaksanakan tindakan awal menyelamat dengan menghantar keperluaan menyelamat termasuk bot dan jaket keselamatan.

“Di Kelantan terdapat 617 ‘hotspot’ yang sudah dikenal pasti dan akan diberikan perhatian terutama apabila bermulanya Monsun Timur Laut (MTL),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Apresiasi Pemakaian Pangkat Dan Penganugerahan Reben Perkhidmatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan Tahun 2023/2024 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan Kampus Machang, di sini, hari ini.

Katanya, meskipun belum berlaku peralihan monsun, APM sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga serta bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.

Dalam perkembangan lain, Aminurrahim berkata, APM turut melaksanakan pendekatan baharu dengan memasang Plat Rentan Bencana bagi membantu memudahkan operasi menyelamat ketika berlakunya bencana.

“Sekiranya ada individu atau keluarga yang memerlukan bantuan segera apabila berlaku sahaja bencana, tumpuan akan diberikan kepada rumah berkenaan yang diletakkan plat dan boleh dilihat pada waktu malam.

“Pendekatan baharu ini akan memudahkan urusan menyelamat kerana apabila kerja-kerja menyelamat selesai, plat itu akan diterbalikkan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini