comscore
Tumpuan :
Nasional

APM bantu tangkap ‘Kingcobra’ sedang berehat di rumah penduduk

Anggota APM Sik berjaya menangkap seekor ular tedung selar di sebuah rumah penduduk di Kampung Betong, Jeneri. FOTO: Ihsan APM

SIK: Kehadiran seekor ular tedung selar yang sedang ‘berehat’ di atas alang kayu sebuah rumah di Kampung Betong, Jeneri, di sini malam tadi mengejutkan penghuni rumah berkenaan.

Kerana bimbang diancam reptilia paling berbisa itu, penghuni rumah terbabit kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik untuk meminta bantuan menangkap “King Cobra” itu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengadu pada jam 10.22 malam dan sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi untuk memberi bantuan.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota kami mendapati, ular tedung selar sepanjang lebih empat meter itu masih berada di atas alang kayu rumah berkenaan.

“Anggota APM Sik mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap replitia berkenaan kerana operasi perlu dilakukan dengan berhati-hati.

“Bagaimanapun, King Cobra itu akhirnya berjaya ditangkap dengan menggunakan penjerut walaupun reptilia itu berada di sudut yang sukar untuk ditangkap,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Haisul Aishah berkata, King Cobra seberat lapan kilogram (kg) itu berjaya di jerut dan dibawa pulang ke Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik sebelum diserahkan kepada Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sik.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang awam supaya sentiasa terus peka dan berwaspada berikutan cuaca panas ketika ini dan  mengundang kehadiran ular termasuk spesis berbisa untuk tumpang berteduh di kediaman penduduk terutama kawasan bilik air.

“Orang awam boleh menghubungi APM Sik di talian 04-469 8221 sekiranya terdapat sebarang kes kecemasan di daerah ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini