Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
LIMA: Ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mesti menjadikan platform itu sebagai piawaian emas (gold standard) bagi kerjasama ekonomi global dengan memimpin bukan di belakang tabir tetapi di barisan hadapan.
Berucap pada Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC dengan Tetamu, di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua 21 ekonomi anggota untuk mencipta sejarah melalui tindakan yang berani.
“Dunia kini bukan sahaja saling berhubung, ia juga saling bergantung pada tahap yang menuntut kita untuk menilai semula apa ertinya bekerjasama, berkolaborasi dan hidup bersama.
“Dalam APEC, kita memiliki peluang luar biasa untuk memimpin bukan hanya dengan idea tetapi juga dengan tindakan berani yang membina kekuatan ekonomi dari akar umbi. Hari ini, tanggungjawab kita jelas (iaitu) ubah saling kebergantungan ini menjadi kekuatan terbesar kita,” katanya.
Tegas Anwar, pembangunan dan kemajuan ekonomi tidak boleh dilihat semata-mata daripada paradigma materialistik.
Beliau berkata, nasib golongan miskin, terpinggir dan mangsa keganasan, kezaliman serta penindasan tidak boleh dipinggirkan.
Ini termasuk pembunuhan kejam terhadap nyawa yang tidak bersalah atas sebab kaum atau agama atau pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
“Dengan memastikan tadbir urus global, membina daya tahan, melindungi golongan rentan dan yang tertindas, kita dapat menawarkan dunia jalan ke hadapan yang bukan sahaja makmur tetapi juga mampan dan adil.
“Dunia sedang memerhati, dan kita tidak mampu untuk berlengah. Marilah kita mencipta sejarah melalui tindakan kita. Dunia memerlukan kita untuk berani dan kita perlu bersedia,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.