LIMA, PERU: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyuarakan keyakinan APEC dan ASEAN mampu memainkan peranan penting dalam meningkatkan integrasi ekonomi di rantau ini.
Menurutnya, tema APEC tahun ini, ‘Empowering Inclusive Growth’, sangat relevan dalam konteks ketidaktentuan ekonomi global, terutamanya bagi Malaysia.
Tengku Zafrul berkata, APEC adalah platform penting untuk membincangkan cabaran dan isu-isu semasa, dengan ekonomi anggota APEC yang merangkumi hampir separuh daripada penduduk dunia, 60 peratus KDNK global, dan 50 peratus perdagangan dunia.
“Kerjasama antara negara anggota amat penting bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif dan mampan, terutama bagi negara-negara membangun,” katanya dalam temubual program The Heat yang disiarkan CGTN di sini hari ini.
Malaysia, yang akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 1 Januari tahun depan akan menekankan kepentingan integrasi ekonomi dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Tengku Zafrul menjelaskan bahawa blok ekonomi ASEAN, yang kini bernilai AS$3.8 trilion (RM17.252 trilion), dijangka menjadi blok ekonomi keempat terbesar dunia menjelang tahun 2030.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh, bukan hanya dinikmati oleh syarikat besar tetapi juga oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), belia, dan usahawan wanita.
Menurutnya, PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia, di mana 70 peratus tenaga kerja negara bekerja dalam sektor ini.
Selain itu, Malaysia komited untuk memperkenalkan kerangka ekonomi digital ASEAN yang akan membantu PKS mendapat akses yang lebih luas ke pasaran melalui e-dagang.
“Pembabitan digital adalah kunci untuk memastikan semua segmen perniagaan, termasuk di kawasan luar bandar, dapat menyertai arus perdana ekonomi,” kata beliau.
Tengku Zafrul juga menyatakan bahawa Malaysia menyokong perjanjian perdagangan multilateral seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Menurutnya, Malaysia yang juga ekonomi terbuka dengan nisbah perdagangan ke KDNK sekitar 130 peratus, meraih manfaat besar daripada perjanjian perdagangan terbabit.
Menyentuh hubungan perdagangan dengan China, Tengku Zafrul menyatakan bahawa China menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut.
Beliau menyifatkan Ekspo Import dan Eksport China (CIIE) di Shanghai sebagai platform penting untuk mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia-China dan meningkatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan China.
Beliau turut menyambut baik pelaburan besar China dalam pembangunan pelabuhan baru di rantau ini yang dijangka akan mempercepatkan proses penghantaran antara Asia dan Amerika Selatan.
“Pelabuhan baharu ini mampu mengurangkan kos logistik yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pengguna,” katanya.
Tengku Zafrul mengakhiri temubual itu dengan menyatakan harapan bahawa APEC dan ASEAN akan terus menjadi platform untuk membina jambatan antara negara-negara dalam usaha mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.