comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] APEC 2023: Malaysia berjaya nyatakan pendirian, capai matlamat  

 

SAN FRANCISCO: Malaysia berjaya menyatakan pendirian tegasnya dalam konflik Israel-Palestin yang mengorbankan ribuan nyawa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,  isu yang dibangkitkan pada Minggu Pemimpin Ekonomi APEC itu  turut mendapat perhatian Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden apabila negara itu digesa bersikap adil dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

Katanya, isu Palestin itu disuarakan beliau pada sesi Mesyuarat tidak formal Pemimpin Ekonomi APEC, Sesi Pemukiman Pemimpin EKonomi APEC serta mesyuarat dua hala dengan Kanada, Peru dan Vietnam.​​​​​​​

”Dalam semua sidang itu, terutama di depan Presiden Joe Biden dan tadi di sebelah Setiausaha Negara Blinken, saya bangkitkan isu hak asasi kemanusiaan yang banyak dicanangkan oleh Amerika.

”Saya tekankan, satu hari lewat bermakna ratusan atau ribuan korban termasuk wanita dan anak-anak. Jadi  apa pun pertimbangan kita, serangan terhadap rakyat mesti dan wajib dihentikan.” katanya.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di akhir persidangan, beliau menyatakan penghargaan kepada Indonesia dan Brunei yang turut membangkitkan isu Palestin.

Mengulas pertemuan antara Biden dan Presiden China Xi Jinping  yang mencuri tumpuan, Perdana Menteri menyifatkan perkembangan terbaharu itu melegakan banyak negara termasuk Malaysia yang menghadapi tekanan untuk memilih  antara dua kuasa besar berkenaan.

”Pertemuan Presiden Joe Biden dan Presiden Xi Jinping sangat penting untuk mententeramkan suasana dan suhu politik dan persaingan ekonomi yang kian tegang. Saya lihat kenyataan Xi Jinping sangat lunak dan mendokong persefahaman ini,” jelasnya.

Minggu Pemimpin Ekonomi APEC ke-30 bertemakan “Mewujudkan Masa Depan Yang Berdaya Tahan dan Mampan Untuk Semua” menutup tirainya, hari ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini