Tumpuan :
Nasional

 ‘Apa khabar, khabar baik…kita turunkan kayu ukur sampai ke situ’ – Saifuddin Nasution

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kebanyakan pemohon warga emas gagal melepasi ujian penguasaan Bahasa Melayu yang menjadi syarat kelayakan memohon taraf warganegara.

Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan ada warga emas yang tinggal di negara ini langsung tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa rasmi kebangsaan.

Keadaan itu menyebabkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terpaksa melonggarkan syarat kelayakan memohon warganegara kepada warga emas.

“Warga emas ini kebanyakannya gagal melepasi ujian penguatkuasaan BM, kebanyakan.

“Sekarang ni kadang-kadang yang dapat skor 2 pun saya luluskan, maknanya terima kasih dia jawab sama-sama. Itu pun lulus.

Apa khabar, khabar baik… sampai kita turunkan kayu ukur sampai ke situ,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) mengenai isu proses kelulusan permohonan warganegara yang mengambil masa lama, khususnya membabitkan warga emas.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai dakwaan KDN tidak serius dalam isu permohonan taraf warganegara, Saifuddin berkata 10,381 permohonan sudah diberi keputusan dengan majoritinya membabitkan kanak-kanak dalam tempoh 10 bulan.

“Kebanyakan permohonan membabitkan kes anak angkat dan kanak-kanak tidak sah taraf. Mereka tak boleh ke sekolah dan terpaksa bayar bil hospital yang mahal (kerana tiada taraf warganegara).

“Kita minta pegawai di KDN selesaikan ini dahulu, sebaliknya kita ditohmah luluskan puluhan ribu permohonan warganegara kepada rakyat China, ini jahat,” katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Su Fui mengenai penduduk tidak memiliki dokumen lengkap bagi permohonan warganegara, Saifuddin memberitahu beberapa inisiatif dilaksanakan bagi mengatasi isu itu.

“Ia termasuk Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) untuk membantu rakyat, terutama di kawasan pedalaman mendapatkan dokumen lengkap dan urusan permohonan warganegara,” ujarnya.

| ARTTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini