Oleh: Khairul Rizuan Azizan
PETALING JAYA: Tiada kemahiran urus kendali diri yang baik selain gagal mengawal tahap tekanan faktor utama dikesan mengundang keadaan yang lebih teruk seperti keresahan melampau (anxiety) dan kemurungan (depression).
Malah sikap penghidap anxiety yang gagal menyimbangkan antara dirinya yang sebenar (real self) dan dirinya yang diidamkan (ideal self) turut mengakibatkan kehidupan mereka semakin bercelaru.
Menurut Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Datuk Dr. Mohamed Fadzil Che Din, yang paling dirisaukan adalah tindakan luar kawalan mereka termasuk bunuh diri.
“Sikap mereka yang lebih suka menyendiri atau agresif itu akan membuat kehidupan mereka lebih kucar-kacir. Kadangkala tingkah laku mereka yang terlalu berhati-hati atau memikirkan benda yang remeh-temeh akan mendorong perilaku yang lebih buruk seperti bunuh diri,” katanya kepada Buletin TV3.
Katanya, anxiety hanyalah isu kesihatan mental bukannya berkait penyakit mental seperti dianggap oleh sesetengah pihak.
Malah mereka yang mengalaminya tidak perlu malu untuk menerima rawatan.
“Ramai yang kurang faham pasal anxiety ini. Ianya adalah isu kesihatan mental dan bukan isu penyakit mental. Mereka tidak perlukan surat pengesahan daripada doktor. atau hospital.
“Mereka hanya perlukan rawatan psiko-sosial daripada kaunselor bertauliah. Tak perlu jumpa pakar sakit jiwa,” katanya.
Pun begitu katanya, amalan gaya hidup sihat menjadi kunci utama kepada penyelesaian masalah berkenaan selain mengingatkan agar penghidap anxiety berhati-hati dalam memilih jenis rawatan agar tidak mudah terpedaya dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun lalu merekodkan 9.7 peratus atau 32,759 kes mempunyai simptom anxiety yang telah pun diberikan intervensi dan rawatan lanjut.
Ia hasil daripada 336,906 jumlah saringan kesihatan mental yang dijalankan di seluruh negara.
Wilayah Persekutuan merekodkan sebanyak 70 peratus masalah kemurungan dan anxiety, diikuti Johor (44 peratus); Labuan (33 peratus) dan Sabah (23 peratus).