Oleh: Haliza Hashim
LONDON: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di London, United Kingdom (UK) untuk memulakan lawatan kerja rasmi dari 15 hingga 19 Januari, atas jemputan rakan sejawatnya, Keir Starmer.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Stansted pada pukul 10.50 malam Selasa waktu tempatan (6.50 pagi Rabu waktu Malaysia).
Ketibaan Anwar disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar, Atase Pertahanan, Datuk Brigedier Jeneral Safwan@Asri Ismail, Wakil Khas Setiausaha Luar Negeri UK, Richard Wildash, dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, David Wallace.
Turut mengiringi Perdana Menteri adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurut Zakri, lawatan kerja ini mencerminkan hubungan erat Malaysia-UK dan dijangka menjadi platform penting untuk Anwar mengemukakan dasar luar Malaysia. Perdana Menteri juga dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Starmer di No. 10 Downing Street pada Rabu.
Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Joint Economic Trade Committee and Other Supporting Mechanism (MUKJETCO) antara MITI dan Department for Business and Trade (DBT).
Untuk rekod, UK menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan nilai dagangan berjumlah RM15.30 bilion (AS$3.34 bilion).
Jumlah eksport direkodkan sebanyak RM7.83 bilion (US$1.71 bilion), manakala jumlah import adalah RM7.47 bilion (US$1.63 bilion) berbanding tempoh sama pada 2023.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.