![](https://media.buletintv3.my/2025/02/NISFU-SYAABAN.jpg)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh umat Islam bersama-sama memperbanyakkan doa dan zikir kepada Allah bagi mempersiapkan rohani, jasmani dan berfikiran positif.
Anwar berkata, doa dan zikir itu dapat melengkapkan segala bentuk ibadah zahir dan batin termasuk berpuasa, menekuni ayat-ayat al-Quran serta memahami maksudnya, menunaikan kewajipan berzakat, berbuat baik dan menyantuni ibu bapa dan masyarakat.
“Malam ini adalah malam ke-15 pada bulan Syaaban, bermakna lebih kurang dua minggu umat Islam akan menempuhi bulan Ramadan al-Mubarak yang dilimpahi dengan keberkatan dan kerahmatan.
“Momentum ini seharusnya kita memperbanyak doa dan zikir kepada Allah SWT agar dipersiapkan rohani, jasmani dan berfikiran positif dengan segala bentuk ibadah zahir dan batin.
“Ini termasuk berpuasa, menekuni ayat-ayat Al-Quran dan memahami maksudnya, zakat, berbuat baik dan khidmat kepada ibu bapa dan masyarakat,” katanya menerusi hantaran di media sosial, malam ini.
Anwar berkata, pada malam Nisfu Syaaban, umat Islam seharusnya memperbanyakkan bertasbih, tahmid, takbir dan tahlil kepada Allah serta berselawat ke atas Junjungan Besar Rasulullah SAW.
“Lazimi bibir dan hati kita dengan tasbih, tahmid, takbir dan tahlil kepada Allah SWT serta berselawat ke atas junjungan besar kita Rasulullah SAW.
“Mohon keampunan Allah SWT dan terus mendoakan kesejahteraan kepada umat Islam terutama buat saudara kita di Palestin dan Gaza,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.