Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memulakan tugas rasminya sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini menyertai ribuan jemaah menunaikan Solat Jumaat di Masjid Putra di sini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu hadir di masjid berkenaan bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sekitar jam 1 tengah hari.
Solat Jumaat dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali yang juga khatib dengan menyampaikan khutbah bertajuk ‘Nasihat Buat Pemimpin: Khalifah Umar Abdul Aziz contoh teladan”.
Dalam khutbahnya, Salahuddin berkata, menjadi seorang pemimpin bukanlah suatu keistimewaan tetapi panggilan itu lebih terarah kepada beban amanah dan tanggungjawab.
Justeru, beliau menasihatkan pemimpin untuk menjalankan amanah yang telah diberikan dengan sebaik-baiknya dengan meneladani Khalifah Umar Abdul Aziz yang berjaya menunjukkan contoh kepemimpinan unggul dan terbaik.
“Khalifah Umar ternyata terlalu sedih dan gelisah dengan beban tanggungjawab yang dipikulnya sesudah dilantik menjadi Khalifah selepas kemangkatan Khalifah Sulaiman Abdul Malik.
Salahuddin turut menyeru rakyat supaya mentaati kepimpinan yang telah dilantik dan memberikan ruang serta kepercayaan kepada mereka untuk menjalankan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
Rakyat juga disaran bersikap matang dan meningkatkan semangat menghormati antara satu sama lain supaya kehidupan menjadi lebih tenteram dan harmoni.
“Bagi kita sebagai rakyat pula, boleh jadi ada dalam kalangan pemimpin yang kita sukai tidak terpilih, usahlah bersedih atau berduka kerana ini merupakan perjalanan sebuah demokrasi negara berdaulat yang memerlukan kita sebagai rakyat untuk menumpahkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan negara.