Tumpuan :
Nasional

Anwar sedia buka ruang untuk pembangkang bincang soal peruntukan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemui pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-29 di Menara Hasil di Cyberjaya.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia membuka ruang untuk bermesyuarat berkenaan syarat yang ditetapkan dalam draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan Ahli Parlimen Pembangkang.

Ujarnya, wakil rakyat dalam blok berkenaan perlu menggunakan saluran yang betul untuk memohon pemindaan draf itu berbanding membuat riuh di Dewan Rakyat.

“Saya dulu lima mesyuarat masa jadi pembangkang. Mesyuaratlah dahulu, draf itu boleh dipinda ini hendak bising di luar sebab apa. Nak jadi hero jalanan? Belajar dahulu.

“Sekarang ini (pembangkang) gunakan isu ini riuh-rendah. Ada mengatakan kami sekarang miskin sampai berhutang.

“Tahu berapa gaji Ahli Parlimen, elaun mesyuarat apa semua, RM30,000, RM40,000. Siapa dapat RM30,000 di sini? Tiada.” Katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-29 di Menara Hasil.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan peruntukan untuk rakyat di kawasan pembangkang tetap disalurkan ketika ini, namun tidak melalui wakil rakyat seperti kebiasaan.

”Yang kita bezakan adalah peruntukan. Itupun untuk kawasan, untuk rakyat diteruskan. Umpamanya katalah Tambun itu pembangkang, projek jalan. Cuma projek itu berjalan terus kepada rakyat atau melalui cadangan Ahli Parlimen, itu beza dia.

“Keduanya, projek itu tidak diberi kepada Ahli Parlimen, projek itu untuk rakyat. Cuma Ahli Parlimen ada peranan untuk memberi usul atau cadangan.

“Jadi untuk menyatakan rakyat terbeban, tidak benar. Keduanya menyatakan oleh itu Ahli Parlimen jadi miskin papa-kedana, saya tak tahu kalau RM40,000 miskin lagi.” Tegasnya.

Semalam, pembangkang dilaporkan menolak Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada mereka sebelum ini kerana syarat yang ditetapkan kerajaan disifatkan terlalu ketat dan tidak adil.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam syarat tersebut, PN seolah-olah perlu menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan hanya untuk mendapatkan sejumlah peruntukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini