Tumpuan :
Nasional

 Anwar santuni warga Madrasah Ribat Al-Musthofa

MACHANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menyantuni Ustaz Muhaizad atau Muhaizad Muhammad serta warga Madrasah Ribat Al-Musthofa di Kampung Bagan Bawah, Pulai Chondong, di sini, hari ini.

Anwar tiba di perkarangan madrasah berkenaan pada jam 6.47 petang dan disambut oleh warga madrasah yang menanti kedatangan beliau.

Beliau kemudiannya menghadiri taklimat ringkas bersama kepimpinan Madrasah Ribat Al-Musthofa sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah serta berselawat dengan jemaah yang hadir.

Anwar ketika ditemui pemberita secara ringkas berkata, kehadiran beliau ke sini untuk menziarah sahabat-sahabat tok guru.

“Ini adalah rutin saya setiap kali turun padang,” katanya ringkas kepada pemberita sebelum meninggalkan Majlis Ilmu dan Selawat di Madrasah Ribat Al- Musthofa kira-kira jam 8.08 malam.

Sementara itu, Muhaizad yang Penasihat Madrasah Ribat Al- Musthofa dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri ke madrasah berkenaan.

Katanya, kedatangan Perdana Menteri adalah salah satu nikmat persaudaraan agama dan bangsa.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi melawat kami di sini dan ia sesuatu menggembirakan,” katanya.

Loading...
Terkini