![](https://media.buletintv3.my/2023/08/SLIDE-BULETIN-TV3-58.jpg)
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan dan andaian bahawa orang Melayu tidak memahami konsep MADANI yang dibawa beliau.
Beliau berkata, konsep itu sebaliknya memerlukan masa untuk difahami secara holistik oleh semua rakyat.
Artikel berkaitan: Ekonomi MADANI jamin pembangunan modal insan
“Dia (konsep Madani) mengambil masa, saya tak setuju sesetengah pihak menyalahkan orang Melayu, menyalahkan kefahaman mereka bahawa mereka itu mudah terpengaruh dengan hasutan kaum dan agama dan menakut-nakutkan Cina dan DAP.”
“Saya tidak setuju, ini maknanya kita satu cabaran (untuk) kita cuba menyantuni, cuba menjelaskan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani dan Pusat Penjaja Madani di sini hari ini.
Katanya, jentera dan kepimpinan Kerajaan Perpaduan perlu memainkan peranan serta bekerja lebih keras untuk memastikan kefahaman rakyat terhadap konsep Madani.
Artikel berkaitan: Konsep Madani pastikan Malaysia disegani di rantau ASEAN, antarabangsa
Tambahnya, kenyataan dan video di media sosial seperti Tiktok juga mungkin telah memberikan keyakinan dan pemahaman yang berbeza kepada rakyat.
“Itu kenyataan satu minit TikTok itu mungkin meyakinkan dia, saya tahu (kenyataan di TikTok) tidak benar tapi saya tidak akan salahkan (rakyat) kerana ia mengambil masa.”
“Madani ini satu konsep yang lebih menyeluruh, dia (rakyat) tak nampak ni ratus-ratus juta, bilion-bilion yang lain, dia tidak tahu yang dia sokong tu kadang-kadang orang yang kayanya ratusan juta ringgit, saya tak mau salahkan dia.”
“Tetapi tanggungjawab jentera kita, pimpinan, mesti bekerja lebih keras untuk memaknai dan menterjemahkan dasar itu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan andaian spontan yang cuba menyalahkan atau menghukum anak muda yang kemungkinan pemahaman mereka terpesong.