Tumpuan :
Nasional

Anwar sampai amanat khas ‘Membangun Malaysia Madani’ esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai mengikuti dan memahami amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ yang akan disampaikan beliau esok secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Perdana Menteri berkata, ia sebagai usaha dan upaya untuk mencipta lonjakan baharu buat negara.

“Esok saya akan berada di PICC di Putrajaya bagi mencerakinkan mengenai bagaimana negara dan tatanan ini dapat menjunjung nilai dan etika pemerintahan yang baik buat rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar dijadual menyampaikan amanat bertajuk ‘Membangun Malaysia Madani’ pada jam 11.30 pagi sebelum menyempurnakan montaj dan gimik pelancaran buku ‘Membangun Negara Madani’.

Buku diterbitkan Institut Darul Ehsan (IDE) itu antaranya menghimpunkan pengalaman politik serta hasil pembacaan Anwar selama empat dekad bermula zaman beliau bergelar mahasiswa hingga memimpin gerakan reformasi.

Amanat khas berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi stesen media tempatan seperti BERNAMA TV dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), selain menerusi Facebook Live Institut Darul Ehsan.

Program dijadual bermula jam 9 pagi dengan ucapan aluan Pengarah Eksekutif IDE, Datuk Ismail Yusop.

Ia disusuli slot ‘Wacana Membangun Negara Madani’ pada jam 9.15 pagi yang akan disertai empat panel jemputan antaranya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Eksekutif IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman,

Turut dijemput sebagai panel dalam wacana berkenaan ialah Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) di Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Haslinda Abdullah.

Dif kenamaan dijadual tiba jam 11 pagi dan majlis dijadual tamat jam 1 tengah hari. – BERNAMA

Loading...
Terkini