KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan dan beberapa negara sedang berunding bagi mengekstradisi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.
Perdana Menteri bagaimanapun enggan mendedahkan butiran rundingan itu
“Namun, kita tidak pernah mendedahkan ia dengan negara mana. Kita tahu kedudukan di mana dia (Jho Low) berada, dan kita berunding bagi mempercepatkan proses,” katanya selepas merasmikan ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah sempena sambutan ulang tahun ke-75 persatuan itu, hari ini.
Anwar mengulas laporan menyatakan Malaysia sedang berunding dengan China bagi mengekstradisi Jho Low.
Pengarang bersama buku ‘Billion Dollar Whale’ mengisahkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Bradley Hope, yang memetik sumber berkata rancangan itu sedang dibincangkan kerajaan berikutan lawatan Anwar ke China, bulan lalu.
“Kami tidak pernah mengesahkan negara (tempat Jho Low dipercayai bersembunyi). Rundingan mengenai perkara itu sedang dibuat dengan negara terbabit melalui saluran diplomatik yang betul,” kata Anwar.
Ditanya sama ada rundingan itu membabitkan China, Anwar berkata beliau tidak boleh mengulas mengenainya.
”Kerajaan perpaduan mahu mendakwa Jho Low atas dakwaan jenayahnya secepat mungkin. Sudah tentu (mahu percepatkan proses) Itu selalu menjadi pendirian kami malah tegas mengenainya sejak hari pertama (pentadbiran sekarang),” katanya.
Anwar mengakui proses membawa Jho Low adalah proses yang rumit.
“Ini kerana rundingan sebegini membabitkan banyak negara, perkhidmatan perisikan, Interpol (Polis Antarabangsa) dan lain-lain,” katanya.