KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Presiden Russia, Vladimir Putin atas jemputan menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, semalam.
Perdana Menteri yang diwakili Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berjaya menyampaikan Kenyataan Negara berhubung misi dan visi Malaysia terhadap blok ekonomi yang dianggotai Russia, Brazil, India, China dan Afrika Selatan itu.
“Sekalung penghargaan kepada Presiden Persekutuan Russia, Vladimir Putin, atas jemputan menghadiri Sidang Kemuncak BRICS yang baru selesai.
“Terima kasih juga kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, yang telah mewakili saya ke Kazan, bagi menyatakan kebersamaan Malaysia dalam usaha dan upaya kita melonjak kedudukan dan pendirian negara,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Sidang kemuncak bertemakan ‘BRICS dan Selatan Global: Bersama-sama Membangun Dunia yang Lebih Baik’ ini diadakan susulan Sidang Kemuncak BRICS ke-16 dan menghimpunkan pemimpin-pemimpin negara serta menteri-menteri daripada sembilan negara anggota BRICS bersama wakil dari 20 negara jemputan bukan BRICS.
Menurut kemas kini @BRICSInfo dalam platform X, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu ke dalam perikatan berkenaan sebagai negara rakan kongsi, walaupun belum sebagai ahli penuh.
Selain Malaysia, 12 negara lain ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turkiye, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.
Untuk rekod, pada 28 Julai lalu, Perdana Menteri mengesahkan Malaysia sudah menyerahkan permohonan kepada Russia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS.
Semasa menyampaikan Kenyataan Negara semalam, Rafizi menekankan isu-isu kritikal bagi Selatan Global termasuk pembangunan mampan, reformasi sistem tadbir urus global serta situasi geopolitik yang semakin berkembang di Asia Barat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.