Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Kabinet rasmi yang pertama di Perdana Putra di sini, lima hari selepas senarai anggota Jemaah Menteri diumumkan Jumaat lalu.
Mesyuarat yang bermula jam 9.30 pagi itu dihadiri semua barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dianggotai 28 menteri serta dua timbalan perdana menteri, selain Datuk Seri Anwar sendiri memegang portfolio Menteri Kewangan.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Isnin lalu, Datuk Seri Anwar mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet yang antara lain memutuskan pemotongan gaji menteri sebanyak 20 peratus setiap bulan sehingga keadaan ekonomi pulih dan mengembalikan kekerapan cabutan khas nombor ramalan kepada lapan berbanding 22 kali setahun mulai 1 Januari depan.
Dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan juga, Datuk Seri Anwar berkata, beberapa langkah akan dilaksanakan bagi mengurangkan kos sara hidup termasuk mengurangkan harga telur ayam, selain penyaluran peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan oleh syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
Turut diumumkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipertanggungjawabkan untuk pengurusan bencana banjir manakala Datuk Seri Fadillah Yusof akan memfokuskan hal ehwal Sabah dan Sarawak terutamanya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).