KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Indonesia baharu, Prabowo Subianto selepas diumumkan sebagai pemenang rasmi Pilihan Raya Presiden 2024.
Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook, berkata beliau dimaklumkan adalah pemimpin pertama yang menyampaikan ucapan tahniah kepada Prabowo selepas pengumuman keputusan rasmi pilihan raya diumumkan.
“Saya telah menghubungi Presiden Terpilih Republik Indonesia Yang Mulia Bapak Prabowo Subianto bagi menyampaikan salam tahniah di atas kejayaan beliau dalam Pemilihan Presiden Indonesia yang baru selesai.
![](https://media.buletintv3.my/2024/03/0v642c55-BTV3-WORK-10.jpg)
“Saya dimaklumkan saya pemimpin pertama yang menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau selepas pengumuman keputusan rasmi PEMILU sebentar tadi.
“Ini cukup bermakna kerana melambangkan nilai persahabatan antara Malaysia dan Indonesia yang amat istimewa sebagai negara tetangga yang dekat dan penting.
“Selamat maju jaya dan saya menyatakan keyakinan bahawa Bapak Prabowo pasti dapat menggalas mandat yang diberikan dengan cemerlang demi kemajuan yang berterusan dan kemakmuran negara Indonesia,” katanya.
Anwar juga berkata, kedua pemimpin itu juga bertekad untuk memperkukuh hubungan dua hala yang mencakup pelbagai aspek sebagai negara jiran dan berikrar untuk bekerjasama rapat di pelbagai forum pelbagai hala terutamanya dalam ruang lingkup ASEAN.
Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) mengumumkan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden dan Naib Presiden 2024.
Berdasarkan kiraan undi di 38 wilayah Indonesia dan 128 pusat pengundian di luar negara, Prabowo-Gibran mendapat 58.6 peratus atau 96,214,691 undi daripada 164,227,475 undi, menurut pengumuman KPU malam tadi.
Pesaing mereka, pasangan Anies Baswedan–Muhaimin Iskandar memperolehi 24.9 peratus atau 40,971,906 undi, manakala Ganjar Pranowo-Mahfud MD mendapat 16.5 peratus atau 27,040,878 undi.
Hasil rumusan KPU menunjukkan Prabowo-Gibran menang di 36 wilayah, dan dua lagi wilayah dimenangi Anies-Muhaimin.
Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Ketua KPU, Hasyim Asy’ari seperti yang disiarkan melalui platform rasmi sosial medianya.
“Pesta Demokrasi” di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia pada 14 Februari lalu dibuat untuk menentukan pengganti Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober tahun lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Pilihan Raya Umum Indonesia 2024: Warga Indonesia banjiri WTCKL sejak awal pagi
- Pilihan Raya Umum Indonesia 2024 : Pengundi mahu Indonesia lebih maju, tidak ketinggalan
- Pilihan Raya Umum Indonesia 2024: Uya Kuya, calon PAN dilihat hadir di WTCKL
- Pilihan Raya Umum Indonesia 2024: Pusat undi awal WTCKL aman walaupun wujud provokasi – Irmohizam
- PEMILU 2024: Keputusan awal dijangka petang ini
- PEMILU 2024: Prabowo mendahului dalam kiraan tidak rasmi
- [VIDEO] Pilihan Raya Umum Indonesia 2024 : Prabowo dahului kiraan pantas atasi Anies & Ganjar
- PEMILU 2024: Bawaslu saran pengundian di KL di lakukan semula
- PEMILU 2024: Pemimpin dunia ucap tahniah kepada Prabowo
- KPU sahkan kemenangan Prabowo-Gibran di Kuala Lumpur