Tumpuan :
Nasional

Anwar mulakan lawatan kerja ke Belgium esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan kerja dua hari ke Belgium mulai esok, selepas lawatan ke United Kingdom (UK).

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan, Lawatan yang bermula pada 19 hingga 20 Januari itu merupakan yang pertama sejak beliau menjadi Perdana Menteri dan bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia, Belgium, dan Kesatuan Eropah (EU).

FOTO: Wisma Putra / Facebook

Pada masa sama, Anwar dijadualkan bertemu Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo, untuk membincangkan hubungan dua hala dan kerjasama dalam isu serantau dan antarabangsa.

Perdana Menteri juga akan bertemu Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa, untuk membincangkan cara meningkatkan hubungan Malaysia-EU.

Sebagai Pengerusi ASEAN, beliau juga akan menyuarakan keutamaan Malaysia serta aspirasi ASEAN dalam menangani cabaran global dan memperkukuhkan hubungan dialog ASEAN-EU.

Anwar dijangka menyampaikan ucaptama bertajuk Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience di College of Europe.

Untuk rekod, statistik perdagangan antara Malaysia dan EU menunjukkan peningkatan yang ketara, dengan perdagangan dua hala mencapai RM200 bilion dari Januari hingga November 2024.

Lawatan kerja itu diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Selepas Belgium, Anwar dijadual berlepas ke Switzerland bagi menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini