Oleh: Farah Nabilah Wazer
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev menyaksikan pertukaran tujuh dokumen dua hala di Kompleks Seri Perdana, hari ini.
Ia melibatkan kerjasama dalam bidang Kesihatan Sains Forensik dan Budaya, selain Pengajian Tinggi, Latihan Diplomatik, Halal dan Kastam.
Sesi pertukaran dimulakan dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan rakan sejawat, Bakthiyor Saidov, diikuti Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Anwar turut menganjurkan majlis makan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana bagi meraikan Mirziyoyev.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Terdahulu, Mirziyoyev yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra.
Kedua-dua pemimpin dijangka hadir ke Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan di Kuala Lumpur, petang nanti.
Ini merupakan lawatan pertama Presiden Uzbekistan ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada Disember 2016.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.