Tumpuan :
Nasional

Anwar mahu Forum Ilmuan Madani diadakan setiap bulan, bantu tambah baik kerajaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Forum Ilmuan Malaysia Madani di Grand Hyatt Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menganjurkan Forum Ilmuan Madani (FIM) secara bulanan.

Perdana Menteri berkata, penganjuran itu penting untuk melontarkan idea kepada kerajaan dalam pelbagai sektor.

“Kalau masa mengizinkan, saya harapkan forum ilmuan ini dapat diadakan secara bulanan. Ia dapat beri ruang untuk sarjana pemikir negara melontarkan idea mereka,” katanya dalam Forum Ilmuan Malaysia Madani,

‘Mencorak Peralihan Tenaga yang Mampan untuk Masa Depan Negara yang Sejahtera’, hari ini.

FIM adalah inisiatif yang diilhamkan Anwar sebagai satu bentuk wacana intelektual yang menjadi platform bagi ilmuan dan tokoh dari segenap latar belakang masyarakat untuk berbincang mengenai isu, cabaran serta tindakan dalam menangani masalah masyarakat semasa.

Malah, ia juga diilhamkan untuk memberi input dan pandangan yang bermakna kepada kepemimpinan negara dalam merangka dasar atau program pembangunan negara.

FIM akan dianjurkan secara bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan GLC terpilih dengan topik forum yang diketengahkan adalah berkaitan Kerangka Ekonomi Madani.

Anwar berkata, apa yang dilontarkan dalam FIM akan dibawa untuk menambahbaik kerajaan dan sektor ekonomi negara.

“Selepas hampir dua tahun dalam kerajaan, saya selalu bincang mengenai hala tuju negara. Saya tidak pernah mewakili pandangan bahawa pimpinan negara mempunyai semua jawapan.

“Kita (kerajaan) harus dicabar oleh sarjana (pemikir) apakah dasar (yang dibawa kerajaan) tepat, berada di landasan atau pun kita perlu mencedok pengalaman atau idea baharu untuk diperbaiki,” katanya.

Tambahnya, pada ketika ini, pelbagai isu menjadi perhatiannya termasuk geopolitik, jati diri, soal peralihan tenaga serta pendidikan.

“Keprihatinan kita mengenai mutu pendidikan termasuk penguasaan Bahasa Melayu atau bahasa lain terutama Bahasa Inggeris.

“Selain itu adalah isu agama Islam dan cabaran Islamophobia. Isu ini harus dibahas dan dibuat wacana terbuka (supaya) dapat tentukan arah masa depan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beberapa isu lain juga akan diberi perhatian dalam FIM terutama yang paling dekat dengan dirinya iaitu isu kemiskinan.

“(Kerajaan perlu tahu) apakah idea yang diperkenalkan dalam kerangka ekonomi ini menjawab dan menjamin supaya bantuan subsidi itu tidak akan melemahkan semangat.

“Kerana ada pakar ekonomi menyebut ia mungkin akan timbulnya sindrom kebergantungan. Ia antara lain memberi cenderung kepada negara menggunakan bantuan subsidi supaya masyarakat kekal miskin dan mengharapkan serta bergantung kepada kelompok elit,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini