Tumpuan :
Nasional

Anwar mahu badan penguat kuasa tingkatkan prestasi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Oleh Amirulhakim Lokman

SERDANG : Semua badan penguat kuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diingatkan untuk meningkatkan prestasi selain membantu kerajaan dalam melaksanakan anjakan tatakelola di dalam pentadbiran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkhidmatan badan penguat kuasa seharusnya baik untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara, selain menjamin agihan hasil negara dengan adil.

“Selalu dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri saya tegur agar perbaiki, ada jalan (penambahbaikan) di lapangan terbang kita, di sempadan, tadi juga kita bincang di Majlis Tindakan Ekonomi Negara bersama Timbalan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) soal penyeludupan yang masih tinggi.. kita hilang minyak diesel RM10 bilion setahun.

“Ini (RM10 bilion) boleh guna untuk membina universiti, baiki rumah penginapan polis, tentera, penjara sebab itu saya minta badan penguatkuasa cari jalan…tingkatkan prestasi, beroperasi dengan baik,“ katanya dalam ucapan ketika menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri Madani di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, teguran yang dilakukan itu bukannya bermakna tiada kebaikan dilakukan badan penguatkuasa sebelum ini, sebaliknya untuk mendorong ke arah perkhidmatan yang lebih baik.

Beliau mahu semua pihak  meneladani pendekatan Kerajaan Perpaduan melalui Malaysia MADANI dalam membawa perubahan terutama melibatkan anjakan tatakelola.

Loading...
Terkini