KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik apa yang dilihatnya sebagai sikap berat sebelah media Barat dalam liputan konflik Israel-Palestin dan menyeru satu pendirian global yang konsisten terhadap isu hak asasi manusia.
Dalam temu bual dengan Richard Quest daripada CNN baru-baru ini, Anwar menekankan keperluan untuk naratif lebih seimbang yang mencerminkan perjuangan rakyat Palestin yang sudah lama wujud, dan bukannya tertumpu semata-mata kepada peristiwa baru-baru ini.
Sambil menyatakan rasa tidak setuju terhadap keganasan di semua pihak, Anwar menekankan kepentingan untuk mengambil kira konteks sejarah.
Merujuk kepada penderitaan rakyat Palestin sejak peristiwa Nakba pada 1948, beliau berkata: “Satu-satunya kebimbangan ialah percubaan wacana itu terutamanya di Barat, untuk memadamkan beberapa dekad sebelum 7 Oktober.
“Anda tidak bercakap tentang satu atau dua insiden yang mungkin tidak semestinya kami setujui, tetapi kemudian wacana di Barat hanya menonjolkan apa yang dipanggil sebagai keterlaluan ini dan melupakan ribuan serta ratusan ribu yang terbunuh,” kata Anwar dalam temu bual itu.
Klip berkenaan dimuat naik di akaun X Quest pada Selasa.
Anwar, yang dengan tegas menentang sebarang bentuk keganasan, mempersoalkan tumpuan Barat terhadap peningkatan konflik baru-baru ini, yang menurutnya mengabaikan sejarah penjajahan dan pendudukan yang lebih luas.
“Pendirian saya secara konsisten menentang sebarang bentuk keganasan. Tetapi kebimbangan saya ialah apabila perkara ini diketengahkan oleh Barat dalam media Barat, dan pada masa yang sama, (mereka) membiarkan pendudukan dan pencerobohan serta genosid berterusan berlaku,” katanya. —BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.